Saturday, February 11, 2012

Bengkel Tatabahasa



BENGKEL TATABAHASA
BAHASA MELAYU

Oleh
JALALLUDIN B.IBRAHIM

PENGGUNAAN RUMUS DALAM TATABAHASA BAHASA MELAYU

Ubah suai dpd:
Abdul Ghalib b. Yunus
Munsyi Dewan

1.  Hukum D-M

Hukum D-M menetapkan bahawa perkara yang diterangkan (D) hendaklah mendahului perkara yang menerangkan (M). Unsur yang diterangkan (D)  merupakan unsur inti (utama) yang terletak pada  kedudukann pertama dan unsur menerangkan (M) merupakan unsur penerang yang terletak pada kedudukan kedua. Contoh: telur ayam (perkara yang hendak diterangkan atau diberi penekanan ialah telur.) Hal ini demikian kerana terdapat banyak jenis telur seperti telur penyu, telur itik, telur burung dan sebagainya. Contoh lain: kad kredit, pisang goreng, Restoran Kassim, susu lembu, kuning telur, sos tomato.

1. Kredit kad perlu digunakan secara berhemah. (     )
2. Ayam telur yang dipeliharanya itu diserang penyakit selesema burung. (     )
3  Saya akan menaiki bas Nasional Ekspres apabila balik bercuti ke Kota Bahru. (       )
4. Esok Menteri Perdana Singapura akan melawat ke Malaysia. (        )
5. Murid-murid banyak menghabiskan masa di siber kafe. (       )

2. Frasa Nama Jamak

Perkataan yang mendukung konsep jamak (banyak) tidak boleh diikuti oleh kata jamak sebaliknya hendaklah diikuti oleh kata tunggal (satu). Contoh: semua pelajar ( / ) semua pelajar-pelajar ( X )

1. Koleksi lagu penyanyi terkenal itu mendapat sambutan yang hangat daripada peminatnya. (    )
2. Segala bukti-bukti itu akan dikemukakan di mahkamah nanti. (     )
3. Pekerja syarikat itu kebanyakannya terdiri daripada pesara perkhidmatan awam. (       )
4. Masalah sosial dalam kalangan remaja adalah antara isu-isu yang akan dibincangkan  (       )
5. Gugusan pulau-pulau di sekitar Filipina sering menjadi tempat tumpuan pelancong. (       )

3. Kata Ganda

Kata ganda apabila digandakan membawa maksud jamak, saling dan berulang.
Contoh: potong-memotong ( / ) saling potong-memotong ( X ) saling memotong ( / )

1. Murid-murid yang menaiki bas itu saling tolak-menolak (      )
2. Mereka saling menuduh antara satu sama lain.(        )
3. Pihak polis sedang tembak-menembak dengan penjenayah itu. (        )
4. Mereka saling baling-membaling ketika kejadian itu berlaku. (        )
5. Kita janganlah kata-mengata kerana tindakan itu boleh menimbulkan pergaduhan. (      )

4. Penjodoh bilangan ----- sebuah ---- diikuti oleh kata nama konkrit.

Kata nama abstrak tidak memerlukan penjodoh bilangan.Penjodoh bilangan sebuah hanya digunakan untuk kata nama konkrit.
1. Beliau mengidamkan sebuah kejayaan menerusi filem arahannya. (       )
2. Dia menyimpan sebuah cita-cita untuk menjadi pegawai tentera.(       )
3. Ayah membeli sebuah rumah di taman perumahan itu. (        )
4. Kakak mempunyai sebuah impian untuk menjadi usahawan tani.(        )
5. Bapa saudara saya membeli sebuah tanah daripada Pak Hamid untuk dijadikan dusun durian.(        )

5. Kata bilangan tak tentu  ----- tidak diikuti oleh penjodoh bilangan

Kata bilangan tak tentu tidak memerlukan penjodoh bilangan. Namun terdapat satu kata bilangan tak tentu yang memerlukan penjodoh bilangan iaitu beberapa.

1. Semua orang peserta perlu membawa komputer riba ketika mengikuti kursus kepemimpinan itu. (         )
2. Dia menumpahkan beberapa tompok cat di atas lantai itu.(        )
3. Beberapa kenderan telah terlibat dalam kemalangan yang dahsyat itu.(        )
4. Segala kelengkapan telah disiapkan sebelum kumpulan itu bertolak. (        )
5. Beberapa bilah parang terpaksa digunakan untuk memotong kayu itu. (       )
6. Frasa Adjektif

amat pandai sekali ( / ) sangat pandai sekali ( / )    sungguh pandai sekali ( / ) indah nian ( / )  nian indah (x)
sangat indah nian ( x )   paling pandai sekali ( x )  terpandai sekali ( x )    sungguh terindah sekali ( x )

1. Datuk Siti Nurhaliza ialah penyanyi yang terhebat sekali di negara kita (      )
2. Pemandangan di pantai itu sungguh indah nian.(    )
3. Begitu malang sekali nasib pemuda itu kerana keretanya dicuri orang.(      )
4. Ronaldo merupakan pemain bola sepak yang termasyhur sekali di dunia.(      )
5. Pelakon lelaki yang terkenal sekali di negara kita ialah Rosyam Noor.(       )

7. Frasa Kerja Transitif (FKT) ---- Kata Kerja Transitif (KKT) ---- Kata Nama (KN)

Frasa kerja transitif mestilah terdiri daripada kata kerja transitif yang diikuti oleh kata nama sebagai objek.

....menendang bola itu ( / )             …menyatakan perkara itu (/)   …menyatakan tentang perkara itu (x)
…meningkatkan lagi pencapaian (x)…memahami akan perkara itu (x) …menulis semula karangan itu. (x)

Dia menendang bola dengan sekuat-kuat hatinya.( /  )
Dia menendang dengan sekuat-kuat hatinya bola itu.( x )

1. Pegawai penyiasat kes itu akan menyelidiki dahulu kebenaran kata-kata saksi itu.(       )
2. Atlet negara dijangka akan memperoleh dua pingat emas dalam Sukan Olimpik di Beijing nanti.(      ) 
3. Wartawan akan melaporkan dari kota London berita terkini tentang kejadian pengeboman itu.(      )
4. Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nicol Ann David atas kejayaannya (      )
5. Mereka membeli juga barang-barang itu walaupun harganya mahal dan tidak munasabah.(      )  

      8. Frasa Kerja Tak Transitif (FKTT) --Kata Kerja Tak Transitif (KKTT) - Kata Sendi (KS)

      Frasa kerja tak transitif mestilah terdiri daripada binaan kata kerja tak transitif yang diikuti oleh kata sendi nama.
     
       Kapal layar itu sedang menuju ke garisan penamat. ( / )    Kapal layar itu sedang menuju garisan penamat. ( x )
       Pak Sahak bermandikan ( x )  Pak Sahak bermandikan peluh ( / )

      1. Azhar dan Azman pergi sekolah pada setiap pagi dengan menaiki bas.(      )
      2. Pasukan Itali muncul juara dalam pertandingan bola sepak Piala Dunia 2006.(       )
      3. Guru menjelaskan bahawa peperiksaan akan berlangsung bulan hadapan.(       )
      4. Saya terserempak ahli sukan itu ketika berkelah di pantai Teluk Cempedak.(       )
      5. Kami telah berbincang tentang isu kontroversi dalam mesyuarat tergempar semalam.(      )

9. Frasa Kerja Transitif Gabungan
Dalam frasa kerja transitif gabungan akhiran –kan, kata kerja transitif yang pertama tidak boleh digugurkan. Contoh: memaju dan meningkatkan ( x ), memajukan dan meningkatkan ( / )

1. Calon tidak dibenarkan menukar dan menambahkan imbuhan.(        )
2. Kita hendaklah merancangkan dan menentukan masa depan kita.(        )
3. Kami akan mengumpul dan menyerahkan barang-barang makanan kepada mangsa banjir. (       )
4. Saya telah mengutip dan menyerahkan bayaran yuran itu kepada guru penasihat.(      )
5. Usahawan itu mengendali dan mengusahakan perniagaannya sepanjang minggu.(      )

10.  Frasa Kerja Pasif Diri Pertama (KGD1) ---- Kata kerja tanpa awalan

Frasa kerja pasif diri pertama menetapkan bahawa kata ganti nama diri pertama diikuti oleh kata kerja tanpa awalan. Contoh: Buku itu saya baca ( / ) Buku itu dibaca oleh saya ( x )

1. Bola itu telah saya tendang ke arah pintu gol.(      )
2. Laporan itu akan disediakan oleh kami dalam masa seminggu.(       )
3. Berita itu akan saya sampaikan kepada keluarganya.(       )
4. Anugerah itu akan disampaikan oleh beta.(      )
5. Segala titah perintah tuanku akan dilaksanakan oleh patik.(      )
11. Frasa Kerja Pasif Diri Kedua (KGD2) ---- Kata kerja awalan tanpa awalan

Frasa kerja pasif diri kedua menetapkan bahawa kata ganti nama diri kedua diikuti oleh kata kerja tanpa awalan. Contoh: Pinggan itu kamu basuh.( / ) Pinggan itu dibasuh oleh kamu. ( x )

1. Kerja itu mestilah disiapkan oleh awak esok. (      )
2. Tiket kapal terbang itu telah diambil oleh engkau tadi.(       )
3.  Keputusan itu hendaklah tuan hamba terima.(      )
4.  Wang itu telah saudara terima pada minggu lepas.(       )

12.  Frasa Kerja Pasif Diri Ketiga (di --- KGD3)

Frasa kerja pasif diri ketiga menetapkan bahawa kata kerja yang berawalan di- hendaklah diikuti oleh kata ganti diri ketiga. Kata sendi nama oleh selepas kata kerja pasif diri ketiga boleh digugurkan dengan syarat kata nama atau pelaku mengikuti selepasnya.
Contoh: Kereta yang dinaiki mereka. ( / ) Kereta yang mereka naiki. ( x ) Kereta yang dinaiki oleh mereka. ( / )

1. Barang itu telah diambil mereka semalam.(       )
2. Majlis itu akan baginda rasmikan.(      )
3. Permohonan itu diluluskan oleh beliau pada pagi tadi.(     )
4. Lagu tema perayaan itu akan dia nyanyikan nanti.(      )
5. Gaji kami telah dibayar oleh pihak syarikat tersebut.(      )

13. Hukum Aneksi Pesona: Kata bantu ----- KGD1 & 2 ---- kata kerja tanpa awalan
Hukum Aneksi Pesona menegaskan bahawa ruang di antara KGD1 & 2 dengan kata kerja tanpa awalan tidak boleh diletkkan kata bantu , kata nafi atau unsur-unsur lain.

Contoh: Kucing itu telah saya beri makan. ( / ) Kucing itu saya telah beri makan. ( x )
              Bilakah buku itu akan kamu ambil? ( / ) Bilakah buku itu kamu akan ambil? ( x )

1. Tajuk itu telah saya ajarkan pada minggu lepas. (       )
2. Mereka boleh kamu hadiahi dengan sehelai baju kurung Kedah. (      )
3. Nabil yang menghadapi masalah keluarga itu kita akan bantu. (       )
4. Tetamu yang hadir itu kalian akan layani. (       )
5. Kami akan hantar rayuan itu sebelum hari Selasa. (      )

14. Frasa Kerja tak Transitif (FKTT) ----ber-...-kan ---- Kata Nama (KN)

Frasa kerja tak transitif (FKTT) yang mempunyai kata kerja berapitan ber-..-kan mestilah diikuti oleh kata nama.
Contoh: berdasarkan perkara itu. ( / ) berdasarkan pada perkara itu. ( x )

1. Negara mendapatkan alat berasaskan teknologi yang canggih. (       )
2. Pasukan pencari dan penyelamat itu bergerak berpandu pada kompas. (      )
3. Pemergian mereka ke Melaka berbekalkan doa daripada seluruh ahli keluarga. (       )
4. Budak-budak yang ketinggalan bas itu tidur berbantalkan lengan di bangku stesen bas. (      )
5. Hujah-hujah yang dikemukakan itu sungguh bernas kerana berdasarkan pada bukti yang jelas.(       )

15. Pasangan apitan meN-...kan dan meN-...i  :  meN-....kan ------- Objek bergerak
                                                                           meN-.....i --------- Objek Tak bergerak

Apitan meN-...kan dan meN-..i yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek kebanyakannya diikuti oleh objek bergerak dan objek tidak bergerak. Contoh:
Ayah menghadiahkan sehelai kain batik kepada ibu. (kain batik sebagai objek bergerak)
Ayah menghadiahi ibu sehelai kain batik (Ibu sebagai objek tidak bergerak)

1. Ayah melontarkan kambing itu dengan batu. (      )
2. Ayah melontari kambing itu dengan batu. (      )
3. Ayah melontarkan batu ke arah kambing itu.(     )
4. Ayah melontari batu ke arah kambing itu.(      )
5. Hidayah menaikkan kereta untuk ke sekolah.(     )
6. Hidayah menaiki kereta untuk ke sekolah. (      )
7. Pihak sekolah mengirimkan surat kepada ibu bapa. (     )
8. Pihak sekolah mengirimi surat kepada ibu bapa. (     )

16. Pasangan apitan di-...kan dan di-...i: Subjek bergerak -------------di-...kan                                                                                                                                     Subjek tak bergerak ------di-... i   

Dalam ayat pasif, subjek yang bergerak hendaklah diikuti oleh apitan di-…kan dan subjek yang tidak bergerak hendaklah diikuti oleh apitan di-…i. Contoh:

Sehelai kain batik dihadiahkan oleh ayah kepada ibu ( Kain batik sebagai subjek bergerak)
Ibu dihadiahi oleh ayah sehelai kain batik. ( Ibu sebagai subjek tidak bergerak)

1. Kambing dilontarkan oleh ayah dengan batu.(    )
2. Kambing dilontari oleh ayah dengan batu.(      )
3. Batu dilontarkan ayah ke arah kambing itu.(     )
4. Batu dilontari ayah ke arah kambing itu. (      )
5. Kereta dinaikkan oleh Hidayah untuk ke sekolah.(     )
6. Kereta dinaiki oleh Hidayah untuk ke sekolah.(      )
7. Surat dikirimkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa.(      )
8. Surat dikirimi oleh pihak sekolah kepada ibu bapa.(      )

17. Apitan meN-…kan dan Awalan meN- : meN-...kan ------- Objek bernyawa
                                                                    meN-….  --------- Objek tidak bernyawa

Apitan meN-.....kan dan awalan meN-.. yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek sahaja kebanyakannya diikuti oleh objek bernyawa dan tidak bernyawa.Contoh:

Ibu memasakkan ayah sup kambing. (ayah sebagai objek bernyawa)
Ibu memasak sup kambing untuk ayah.(sup kambing sebagai objek tidak bernyawa)

1. Ibu menjahitkan adik baju sekolah. (    )
2. Ibu menjahitkan baju sekolah untuk adik.(     )
3. Ibu menjahit adik baju sekolah.(      )
4. Ibu menjahit baju sekolah untuk adik.(      )
5. Pelayan itu membawakan kami minuman sejuk. (     )
6. Pada setiap malam, ibu membacakan adik buku cerita. (     )
7. Kakak membeli baju baharu untuk adik (     )
8. Azman mencarikan ubat sakit pinggang untuk Pak Hussein (    )

18. Apitan di-....kan dan awalan di-... : Subjek bernyawa ---------- di-...kan
                                                              Subjek tak bernyawa ---------- di-....

Dalam ayat pasif ini, subjek bernyawa hendaklah diikuti oleh apitan di-...kan dan subjek tidak bernyawa diikuti perkataan berawalan di-...Contoh:

Ayah dimasakkan sup kambing oleh ibu..( ayah sebagai subjek bernyawa)
Sup kambing dimasak oleh ibu untuk ayah. (sup kambing sebagai objek tidak bernyawa)    

1. Adik dijahitkan baju sekolah oleh ibu.(      )
2. Baju sekolah dijahitkan oleh ibu untuk adik.(      )
3. Adik dijahit baju sekolah oleh ibu.(      )
4. Baju sekolah dijahit oleh ibu untuk adik. (      )
5. Kami dibawakan minuman sejuk oleh pelayan itu.(      )
6. Pada setiap malam, adik dibacakan buku cerita oleh ibu.(      )
7. Baju baharu dibeli oleh kakak untuk adik.(     )
8. Ubat sakit pinggang dicarikan oleh Azman untuk Pak Hussein.(     )
19. Pasangan apitan memper...... dan memper....kan.

Perkataan yang berawalan memper.... tidak boleh diikuti oleh akhiran ...kan jika kata dasarnya terdiri daripada kata adjekltif. Contoh: memperluas ( / )  memperluaskan (x)

1. Kerajaan akan memperlebar jalan raya untuk mengurangkan kesesakan.(      )
2. Mereka sedang mempereratkan hubungan antara ahli persatuan.(      )
3. Penyanyi itu memperdengarkan suaranya kepada para hadirin.(      )
4. Beliau mengupah buruh Indonesia untuk memperbesarkan rumahnya.(      )
5. Pihak kami akan memperuntuk sejumlah RM50,000.00 untuk projek itu.(     )

20. Kelewahan Bahasa

a) Kata hubung tidak boleh berderetan. Contoh:   jika sekiranya (x)              jika ( / )                  sekiranya ( / )
b) Kata sendi tidak boleh berderetan. Contoh:      demi untuk negara ( x )    demi negara( / )      untuk negara ( / )

1. Kita perlu bekerja kuat demi untuk bangsa dan negara. (     )
2. Sejak dari semalam saya tidak nampak kelibatnya. (     )
3. Jika sekiranya saya lulus dalam peperiksaan ini, saya akan mengadakan kenduri kesyukuran. (     )
4. Pegawai itu berjaga hingga ke pagi. (      )
5. Selain daripada itu, pembakaran terbuka juga mencemarkan udara.(      )

21. Kata Sendi dari dan  daripada

Kata sendi dari : digunakan untuk arah (A), tempat (T) dan masa (M): (ATM)
Kata sendi daripada: digunakan untuk Keanggotaan (K), Abstrak (A), Bandingan (B), Orang atau Organisasi (O) dan                                                             Sumber (S) : KABOS

Contoh: Angin bertiup dari utara. (arah) 
             Ayah baru sampai dari Kucing, Sarawak  (tempat)
             Saya menunggu kedatangannya dari semalam. (masa)
            Pasukan itu terdiri daripada lima orang pemain yang berpengalaman (keanggotaan)
            Kejayaannya bermula daripada kesusahan yang dialami sejak sekian lama. (abstrak)
            Pelajar lelaki kelas itu lebih pandai daripada pelajar perempuan. (bandingan)
            Dia selalu mendapat bantuan daripada abangnya.(orang)
            Borang permohonan itu boleh didapati daripada Kementerian Pelajaran.(organisasi)
            Beg itu diperbuat daripada kulit buaya.(sumber)

1. Kami akan berada di sini daripada pagi hingga petang. (      )
2. Anda berasal daripada mana? (      )
3. Projek buku ini lahir daripada perbincangan itu.(     )
4. Ahli PIBG terdiri daripada ibu bapa dan guru. (      )
5. Ukiran itu diperbuat dari logam.(      )
6. Perkara itu diketahui dari semalam lagi.(     )
7. Cara berfikirnya lain dari yang lain. (      )
8. Saya menerima surat daripada kenalan saya yang tinggal di Bandung, Indonesia.(     )
9. Orang itu wakil dari Pejabat Daerah.(      )
            
22. Penggunaan Kata Nafi Tidak dan Bukan 
     Kata nafi Tidak----- Kata kerja dan kata adjektif
     Kata nafi Bukan----- Kata nama atau kata sendi nama
    
Kata nafi tidak hendaklah diikuti oleh kata kerja dan kata adjektif manakala kata nafi bukan hendaklah diikuti oleh kata nama atau kata sendi nama.
Contoh: bukan menjamin (x )  bukan jaminan( / )  tidak menjamin( / )   tidak jaminan (x)

Kata nafi bukan hanya boleh digunakan di hadapan kata kerja dan kata adjektif apabila digunakan untuk mendukung maksud pertentangan maklumat. Contoh: Dia bukan tinggal di kota tetapi di desa.( / )
1. Projek itu bukan usaha saya.(   )
2. Kereta api itu tidak dari Ipoh, tetapi dari Gemas.(      )
3. Bangunan itu tidak besar sangat.(      )
4. Dia bukan hendak belajar, tetapi hendak bermain sahaja.(      )
5. Ucapannya bukan menghina kita sekadar mengingatkan sahaja.(     )

23. Rumus Penggunaan Kata Pemeri  ialah dan adalah.

            ialah    : Frasa Nama (FN) + Frasa Nama (FN)
            adalah : Frasa Nama (FN) + Frasa Adjektif (FA)
                          Frasa Nama (FN) + Frasa Sendi (FS)

Kata pemeri ialah digunakan sebelum kata nama atau frasa nama..Contoh:
 - Sepak takraw ialah acara sukan yang telah diwarisi sejak berzaman lagi.(frasa nama)

Kata pemeri adalah digunakan sebelum kata atau frasa adjektif dan juga frasa sendi. Contoh:
 - Tema cogan kata itu adalah tepat sekali. (frasa adjektif)
 - Harta benda awam itu adalah untuk kegunaan orang ramai. (frasa sendi)

Kata pemeri adalah tidak boleh hadir dihadapan kata kerja atau frasa kerja. Contoh:
 - Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pemandu.( x )
 - Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pemandu.( / )

Kata pemeri tidak boleh hadir bersama-sama kata nafi. Contoh:
- Siswazah yang baru lulus itu ialah bukan pensyarah maktab. ( x )
- Siswazah yang baru lulus itu ialah bukan pensyarah maktab. ( x )

Namun demikian, kata pemeri boleh wujud dalam binaan kata nafi dan frasa adjektif. Contoh:
- Kenyataan itu adalah tidak benar.

1. Proton Saga adalah kereta yang pertama dikeluarkan oleh negara Malaysia.(     )
2. Rencana itu adalah tentang budaya masyarakat Iban di Sarawak.(     )
3. Maklumat yang terkandung dalam risalah itu adalah tidak tepat.(      )
4. Berbohong adalah satu perbuatan yang tidak baik. (     )
5. Buaya adalah sejenis reptilia yang boleh hidup di dalam air dan di atas daratan.(      )

24. Frasa Sendi Nama Berpasangan

Frasa Sendi nama berpasangan mempunyai satu bentuk ulangan yang sama dan berpasangan. Contoh:
masa....... ke masa              semasa....ke semasa              hari.......ke hari             sehari.........ke sehari

1. Tindakan akan diambil dari masa ke semasa untuk memastikan semua murid mematuhi peraturan sekolah(   )
2. Dari masa ke masa, pihak polis akan membuat pemantauan tentang keadaan keselamatan negara.(      )
3. Ibu menunggu kepulangan abang dari sehari ke sehari.(      )

25. Penggunaan Kata Sendi Nama di dan ke

Kata sendi nama di digunakan untuk tempat dan dieja secara terpisah.
Contoh: di sana, di samping, di Kedah

Kata sendi nama di tidak boleh digunakan untuk waktu, masa atau zaman.
Contoh: di zaman (x),  pada zaman ( / ),    di waktu (x)    pada waktu ( / )

Kata sendi nama ke digunakan untuk menunjukkan tempat atau arah, waktu dan masa.
Contoh: ke sana,  ke bawah,  ke petang, ke pagi

1. Mereka masih berada di sana.(     )
2. Dari petang ke malam, dia masih berada di Dataran Putrajaya.(     )
3. Sebagai adik beradik, kita semua perlu sepakat di dalam semua perkara. (      )
4. Gambar yang terpampang di ruang tamu rumahnya ialah gambar arwah ayahnya.(      )

No comments:

Post a Comment